Ruang kerja memainkan peranan yang penting dalam menentukan produktiviti setiap individu. Dengan adanya ruang kerja yang baik, kita akan lebih fokus dalam menjalankan kerja-kerja seharian di pejabat. Terdapat pelbagai ciri yang boleh dipraktikkan di tempat kerja anda supaya anda dan pekerja berasa lebih selesa untuk melakukan kerja.
1) Meja dan kerusi boleh laras
Syarikat perlu berbelanja untuk mendapatkan kerusi dan meja yang berkualiti tinggi untuk memastikan para pekerja dapat mengekalkan postur badan dengan baik. Penjagaan postur badan semasa melakukan kerja selama berjam-jam lamanya akan dapat mengelakkan anda daripada mempunyai masalah pinggang dan tulang belakang. Pejabat perlu menggunakan kerusi, meja dan kelengkapan yang boleh dilaras mengikut kesesuaian penggunanya kerana setiap orang mempunyai ketinggian yang berbeza.
2) Berdiri dan bergerak ke sekeliling
Cara ini sangat penting kepada setiap individu untuk berdiri dan bergerak ke sekeliling anda supaya badan anda tidak akan berasa lenguh dan kejang. Anda boleh berdiri atau melakukan regangan mudah setiap satu atau dua jam. Selain itu, anda juga boleh berjalan selama sama ada berjalan ke koridor pejabat, mengambil air atau lain-lain untuk membantu anda meninggalkan ruang kerja anda untuk beberapa minit. Duduk secara statik di ruang kerja anda selama berjam-jam adalah tidak baik untuk postur badan anda.
3) Melihat ke sekeliling
Melihat ke skrin komputer anda sepanjang hari akan menyebabkan keletihan mata dan menambahkan stress kepada mata anda. Anda boleh mengalihkan pandangan mata anda daripada melihat skrin komputer setiap 20 minit atau anda juga boleh memfokuskan mata anda kepada objek yang berada 6 meter jauh daripada tempat duduk anda. Contohnya, melihat pokok di luar tingkap, jam pada dinding atau melihat objek-objek lain. Ia dapat membantu mata anda untuk relaks seketika setelah lama fokus kepada skrin komputer yang mempunyai cahaya yang cerah.