CIRI-CIRI RUANG KERJA YANG BAIK
30/06/2022START-UP TD1303
04/07/2022Kini, semakin banyak syarikat yang menawarkan waktu bekerja yang fleksibel kepada para pekerja walaupun kini tiada lagi penjarakan sosial dan perintah kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19 dikenakan kepada syarikat untuk beroperasi. Banyak majikan merasakan bahawa waktu kerja yang fleksibel dapat meningkatkan produktiviti kepada para pekerja. Oleh itu, pekerja akan diberi pilihan untuk bekerja di mana-mana sahaja kerana semua tugasan boleh dilakukan dan disiapkan secara atas talian. Contohnya, syarikat mengeluarkan polisi untuk 3 hari bekerja dari rumah dan 2 hari selebihnya pekerja akan bekerja di pejabat. Oleh itu, pekerja memerlukan ruang yang kondusif untuk melakukan tugasan dan boleh memilih co-working space berbanding melakukan kerja di kafe-kafe yang mungkin kurang kondusif dengan suasana yang agak bising. Terdapat beberapa kelebihan co-working space iaitu:
1) Fleksibiliti
Pengguna co-working space boleh memilih untuk menggunakan ruang tersebut pada bila-bila masa kerana pengguna tidak akan terikat dengan kontrak atau sewaan. Pengguna boleh masuk atau keluar mengikut keselesaan mereka kerana ruang tersebut boleh dibayar mengikut hari. Ruang ini adalah ruang santai seperti kafe-kafe dan akan membantu para penggunanya untuk bekerja dengan lebih santai dan relaks.
2) Networking
Para pengguna co-working space boleh menambah kenalan atau connection semasa melakukan kerja di ruang tersebut. Ini kerana pengguna yang datang ke coworking space merupakan individu yang datang daripada pelbagai bidang dan para pengguna dapat menambah kenalan baru dan mungkin mendapat peluang perniagaan, kolaborasi, atau pekerjaan. Mereka juga boleh bertukar-tukar idea baru tentang sesuatu isu serta menambah ilmu pengetahuan daripada individu-individu dari bidang yang berlainan.
3) Persekitaran
Persekitaran co-working space ini sangat sesuai untuk para penggunanya melakukan tugasan kerana suasananya tidak terlalu bising dan ia sangat kondusif untuk para pengguna yang memerlukan fokus untuk menyiapkan tugasan.