Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu: Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)
03/05/2021Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu: Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT) daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)
10/05/2021Artikel ini akan menerangkan tentang Tabung Siti Khadijah (TSK) yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
Artikel ini ditulis bertujuan untuk mendedahkan para usahawan tentang bantuan perniagaan yang terdapat di Kuala Terengganu. Jadi, artikel kali ini menerangkan tentang Tabung Siti Khadijah (TSK) yang disediakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
Terdapat banyak badan kerajaan atau swasta yang menyokong usahawan tempatan untuk memajukan perniagaan mereka khususnya usahawan industri kecil dan sederhana. Badan-badan kerajaan atau swasta ini menawarkan beberapa bantuan atau pinjaman yang boleh dipohon oleh usahawan yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan. Salah satu badan kerajaan yang bertanggunjawab untuk kemajuan usahawan di Terengganu adalah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
Antara bantuan perniagaan yang disediakan untuk usahawan di Kuala Terengganu ialah Tabung Siti Khadijah (TSK). Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang bantuan perniagaan yang ditawarkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) ini.
Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu
- Apa itu Tabung Siti Khadijah (TSK)?
Tabung Siti Khadijah (TSK) disediakan untuk mana-mana usahawan wanita tempatan yang berinisiatif untuk memaju dan mengembangkan lagi perniagaan mereka. Pembiayaan ini adalah berteraskan syariah Islam dengan pemerkasaan prinsip Al-Qardh Al-Hasan. Sebagai info tambahan, prinsip Al-Qardh Al-Hasan merupakan pinjaman ikhlas yang tidak melibatkan faedah atau syarat tambahan dan bebas daripada unsur riba serta mengikut syariah Islam.
Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu
2. Perincian pembiayaan Tabung Siti Khadijah (TSK).
Bantuan perniagaan yang disediakan oleh YPU ini boleh dimohon dalam jumlah minima RM5,000.00 sehingga maksimum pembiayaannya RM30,000.00. Jangkamasa bayaran pula boleh dibuat berdasarkan kemampuan kewangan usahawan sehingga selama 48 bulan. Dengan suntikan dana ini, perniagaan yang diusahakan boleh berkembang dan bertambah maju. Dengan pengaplikasian prinsip Al-Qardh Al-Hasan, tiada sebarang cagaran yang dituntut daripada pemohon untuk melayakkan mereka mendapat manfaat skim pembiayaan (TSK) ini.
Lebih menarik lagi, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) tidak mengambil sebarang faedah daripada urusan peminjaman ini. Ini bermakna, kadar caj keuntungan adalah tiada dan usahawan hanya perlu membayar jumlah pinjaman sahaja tanpa perlu menanggung kadar faedah yang tinggi. Namun, ada juga syaratnya yang sama dengan pinjaman yang ditawarkan oleh mana-mana organisasi, pemohon TSK juga perlu seorang penjamin yang bekerja di sektor kerajaan ataupun swasta. Had pinjaman juga bergantung kepada had gaji minima penjamin.
Untuk penjamin yang minimum pendapatannya adalah RM 2000.00, jumlah pinjaman yang dibenarkan adalah RM5000.00 sehingga RM10000.00. Bagi penjamin yang berpendapatan minimum RM 2500.00, nilai pinjaman yang dibenarkan adalah bermula daripada RM 10001.00 sehingga RM 20000.00. Penjamin yang berpendapatan RM 3000.00 pula diberikan kadar pinjaman RM 20001.00 sehingga RM 30000.00. Usahawan yang ingin memohon skim TSK juga diperlukan untuk memiliki dan mempunyai premis perniagaan yang tetap untuk melayakkan mereka sebagai seorang pemohon.
Bantuan Perniagaan 8 Agensi di Kuala Terengganu
3. Jenis perniagaan yang layak untuk memohon pembiayaan Tabung Siti Khadijah (TSK).
Antara perniagaan yang layak untuk mendapat pembiayaan atau suntikan dana daripada Tabung Siti Khadijah (TSK) ini adalah daripada sektor peruncitan, sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan. Pengusaha atau usahawan daripada sektor peruncitan layak memohon termasuklah mereka yang megusahakan restoran, kedai runcit, kedai pakaian, kedai perkakasan dapur, kedai perhiasan, kedai produk kesihatan dan lain-lain perniagaan yang termasuk dalam sektor peruncitan.
Untuk sektor perkhidmatan, usahawan yang menawarkan servis dan perkhidmatan seperti jahitan, studio gambar, bengkel kimpalan, bengkel motor, kedai membaiki alat-alat elektronik, spa dan lain-lain perkhidmatan juga layak untuk memohon skim TSK ini. Bagi usahawan yang mengusahakan perniagaan dalam sektor pembuatan, antara perniagaan yang layak untuk memohon skim ini adalah industri kecil dan sederhana yang terlibat dalam memproses makanan, perkilangan dan lain-lain perniagaan yang berkaitan dengan sektor ini.
Bantuan Perniagaan 8 Agensi di Kuala Terengganu
4. Cara memohon pembiayaan Tabung Siti Khadijah (TSK).
Terdapat tiga peringkat untuk memohon bantuan pembiayaan TSK ini. Usahawan yang berminat untuk memohon skim ini perlulah mendapatkan borang terlebih dahulu daripada YPU. Borang permohonan mestilah di isi dengan lengkap dan tepat butirannya. Perlu diingatkan borang yang tidak lengkap tidak akan diterima mahupun dikembalikan kepada pemohon.
Peringkat yang kedua adalah melibatkan pegawai daripada YPU sendiri. Borang yang diisi dengan lengkap akan diproses. Semua butiran yang tercatat akan diteliti dan dinilai dengan berhemah. Lawatan ke premis perniagaan usahawan yang memohon juga akan dibuat di peringkat kedua ini. Peringkat yang terakhir adalah satu peringkat yang membawa manfaat kepada usahawan. Pengeluaran pembiayaan akan dibuat setelah segala aspek diteliti dan permohonan usahawan diluluskan.
Bantuan Perniagaan 8 Agensi di Kuala Terengganu
5. Syarat-syarat kelayakan memohon pembiayaan Tabung Siti Khadijah (TSK).
Syarat -syarat yang dinyatakan di sini mestilah dipenuhi dan dipatuhi oleh usahawan yang berminat untuk memohon pembiayaan Tabung Siti Khadijah (TSK). Pemohon mestilah warganegara Malaysia yang berumur antara 21 tahun sehingga 55 tahun. Pemohon juga mestilah berstatus Bumiputera. Perniagaan yang dijalankan oleh usahawan yang memohon hendaklah dimiliki oleh rakyat Terengganu dan perniagaan itu mestilah dijalankan di Terengganu.
Selain itu, pemohon perlu mendaftar sebagai Pemilih di negeri Terengganu dengan Suruhanjaya Pilihanraya. Usahawan yang berminat untuk memohon skim TSK ini juga di tetapkan untuk memiliki satu premis perniagaan yang tetap dan sah serta jenis perniagaan yang dijalankan mestilah bersifat khusus. Mereka juga diwajibkan untuk memiliki lesen perniagaan sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan atau persekutuan. Perniagaan juga mestilah sudah ada atau wujud dan mempunyai pendaftaran perniagaan SSM yang ,masih lagi belum tamat tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan.
Pemilikan perniagaan juga mestilah dimiliki oleh usahawan yang memohon dan beroperasi secara sepenuh masa. Pemohon juga mestilah sudah menjadi Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) dan telah mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan serta menghadiri kursus yang telah dianjurkan oleh YPU.
Sebelum artikel ini berakhir, penulis sertakan sedikit perihal Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU). YPU merupakan satu badan kerajaan yang bertanggungjawab untuk melahirkan usahawan yang berpengetahuan dan berdaya saing khususnya di Terengganu. Mula beroperasi secara rasmi pada 1 Julai 1994, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) terus komited dalam memastikan pembangunan keusahawan serta perusahaan kecil sederhana dengan menganjurkan pelbagai program pembangunan yang boleh disertai oleh mana-mana usahawan di Terengganu.
Penubuhan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) merupakan jasa mantan Menteri Besar Terengganu yang ke-10 iaitu Dato’ Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Wan Ahmad. Beliau menyedari kepentingan sektor perusahaan kecil dan sederhana untuk pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu dan tidak hanya bergantung kepada sumber petroleum sahaja. Kini, setelah 27 tahun beroperasi, YPU telah banyak menganjurkan program dan aktiviti yang berteraskan Program 5P (Pembiayaan, Peningkatan Kemahiran, Pembangunan Perniagaan dan Promosi Pasaran) untuk memastikan fokus utama YPU iaitu menjadi penggerak dalam perkembangan sektor keusahawanan negeri Terengganu direalisasikan.
Terdapat lima objektif utama YPU yang menjadi pemacu untuk badan kerajaan ini terus berusaha untuk membangun dan memajukan usahawan-usahawan di Terengganu:
- Mempertingkatkan jalinan keusahawanan dan keupayaan usahawan sedia ada.
- Meningkatkan usahawan kelas menengah yang berwibawa ke tahap global.
- Melahirkan usahawan baru Program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES)
- Menyediakan kemudahan prasarana pembangunan keusahawanan dalam usaha meningkatkan daya saing dan daya maju usahawan.
- Mewujudkan pengurusan, budaya dan ruang korporat YPU yang menjadi tonggak kecemerlangan usahawan.
Untuk memastikan kelima-lima objektif utama ini dicapai, YPU menyediakan empat perkhidmatan utama iaitu Pembangunan Usahawan, Pembangunan Perniagaan, Pembiayaan Perniagaan dan Premis Perniagaan yang boleh dipohon oleh usahawan mengikut kesesuaian perniagaan masing-masing.
Setakat ini sahaja perkongsian terperinci tentang bantuan perniagaan yang disediakan di Kuala Terengganu. Untuk maklumat yang lebih terperinci, usahawan boleh mengunjungi pejabat YPU yang beralamat Pusat Dagangan Terengganu Padang Hiliran 21100 Kuala Terengganu Terengganu. Usahawan yang berminat juga boleh menghubungi YPU di talian 09-6242424. Semoga dengan perkongsian artikel ini dapat membantu para usahawan memajukan lagi perniagaan mereka seterusnya menambah baik ekonomi masyarakat.