Artikel ini akan menerangkan tentang Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT) yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
Terdapat banyak badan kerajaan atau swasta yang menyokong usahawan tempatan untuk memajukan perniagaan mereka khususnya usahawan industri kecil dan sederhana. Badan-badan kerajaan atau swasta ini menawarkan beberapa bantuan atau pinjaman yang boleh dipohon oleh usahawan yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan. Salah satu badan kerajaan yang bertanggunjawab untuk kemajuan usahawan di Terengganu adalah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
Antara bantuan perniagaan yang disediakan untuk usahawan di Kuala Terengganu ialah Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT). Artikel ini akan menerangkan tentang lebih lanjut tentang bantuan perniagaan yang ditawarkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu
Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT) adalah satu skim pembiayaan atau kemudahan yang disediakan oleh agensi kerajaan, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU). Skim pembiayaan SPINT ini disediakan untuk para usahawan yang berniaga secara atas talian. SPINT juga disediakan khusus untuk usahawan atas talian di Terengganu yang berinisiatif untuk memaju dan mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu
2. Perincian Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT)
Bantuan perniagaan yang disediakan oleh YPU ini boleh dimohon dalam jumlah minima RM5,000.00 sehingga maksimum pembiayaannya RM10,000.00. Jangkamasa bayaran pula boleh dibuat secara ansuran sehingga selama 22 bulan. Dengan suntikan dana ini, perniagaan yang diusahakan boleh berkembang dan bertambah maju. Untuk melayakkan diri untuk memohon Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT) tiada sebarang cagaran yang dituntut daripada pemohon untuk melayakkan mereka mendapat manfaat skim pembiayaan (SP3T) ini.
Lebih menarik lagi, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) tidak mengambil sebarang faedah atau keuntungan daripada urusan peminjaman ini. Ini bermakna, kadar caj keuntungan adalah tiada dan usahawan hanya perlu membayar jumlah pinjaman sahaja tanpa perlu menanggung kadar faedah yang tinggi. Namun, ada juga syaratnya yang sama dengan pinjaman yang ditawarkan oleh mana-mana organisasi, pemohon SPINT juga memerlukan seorang penjamin yang bekerja di sektor kerajaan ataupun swasta. Had pinjaman juga bergantung kepada had gaji minima penjamin.
Untuk penjamin yang minimum pendapatannya adalah RM 2000.00, jumlah pinjaman yang dibenarkan adalah RM5000.00 sehingga RM10000.00. Bukan itu shaja, untuk usahawan atas talian yang sudah berjaya mendapat pembiayaan skim SPINT ini, mereka yang membayar ansuran tanpa culas atau lompong akan mendapat rebat sebanyak 25%. Syaratnya, usahawan yang meminjam mestilah membuat ansuran tanpa sebarang tunggakan.
Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu
3. Jenis urusan pembelian yang dibenarkan untuk memohon Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT).
Untuk memastikan skim pembiayaan ini benar-benar sampai atau diterima kepada usahawan yang layak yakni usahawan atas talian, YPU telah menetapkan jenis pembelian yang boleh digunakan menggunakan pembiayaan SPINT ini. Yang pertama, usahawan atas talian boleh menggunakan wang daripada pembiayaan ini untuk membeli bahan mentah dan produk jualan yang mereka niagakan. Yang kedua, untuk memastikan urusan perniagaan atas talian ini berjalan lancar, pihak YPU membenarkan usahawan untuk melakukan urusan pembelian peralatan ICT untuk urusan jualan mereka.
Seterusnya, usahawan juga dibenarkan untuk membeli mesin atau peralatan yang akan membantu memajukan lagi perniagaan atau perusahaan yang diceburi oleh usahawan menggunakan pembiayaan daripada SPINT ini. Selain itu, pihak YPU turut membenarkan para usahawan atas talian menggunakan wang pembiayaan SPINT sebagai modal pusingan dan untuk tujuan promosi secara atas talian. Keizinan daripada YPU ini mampu menjamin kelangsungan perniagaan atas talian yang diusahakan oleh usahawan.
Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu
4. Cara memohon pembiayaan Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT).
Terdapat tiga peringkat untuk memohon bantuan pembiayaan SPINT ini. Usahawan yang berminat untuk memohon skim ini perlulah mendapatkan borang terlebih dahulu daripada SPINT. Borang permohonan mestilah diisi dengan lengkap dan tepat butirannya. Perlu diingatkan borang yang tidak lengkap tidak akan diterima mahupun dikembalikan kepada pemohon.
Peringkat yang kedua adalah melibatkan pegawai daripada YPU sendiri. Borang yang diisi dengan lengkap akan diproses. Semua butiran yang tercatat akan diteliti dan dinilai dengan berhemah. Lawatan ke premis perniagaan usahawan yang memohon juga akan dibuat di peringkat kedua ini. Peringkat yang terakhir adalah satu peringkat yang membawa manfaat kepada usahawan. Pengeluaran pembiayaan akan dibuat setelah segala aspek diteliti dan permohonan usahawan diluluskan.
Bantuan Perniagaan 8 Agensi di Kuala Terengganu
5. Syarat-syarat kelayakan memohon pembiayaan Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT).
Syarat -syarat yang dinyatakan di sini mestilah dipenuhi dan dipatuhi oleh usahawan yang berminat untuk memohon pembiayaan Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT). Pemohon mestilah warganegara Malaysia yang berumur antara 21 tahun sehingga 55 tahun. Pemohon juga mestilah berstatus Bumiputera. Perniagaan yang dijalankan oleh usahawan yang memohon hendaklah dimiliki oleh rakyat Terengganu dan perniagaan itu mestilah dijalankan di Terengganu.
Selain itu, pemohon perlu mendaftar sebagai Pemilih di negeri Terengganu dengan Suruhanjaya Pilihanraya. Usahawan yang berminat untuk memohon skim SPINT ini juga di tetapkan untuk memiliki satu premis perniagaan yang tetap dan sah serta jenis perniagaan yang dijalankan mestilah bersifat khusus. Mereka juga diwajibkan untuk memiliki lesen perniagaan sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan atau persekutuan. Perniagaan juga mestilah sudah ada atau wujud dan mempunyai pendaftaran perniagaan SSM yang ,masih lagi belum tamat tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan.
Oleh kerana pembiayaan SPINT ini dikhaskan untuk usahawan atas talian, usahawan yang ingin memohon diwajibkan untuk kekal aktif di mana-mana platform media sosial atau aplikasi perniagaan yang mereka gunakan untuk perusahaan mereka. Pemilikan perniagaan juga mestilah dimiliki oleh usahawan yang memohon dan beroperasi secara sepenuh masa. Pemohon juga mestilah sudah menjadi Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) dan telah mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan serta menghadiri kursus yang telah dianjurkan oleh YPU.
Sebelum artikel ini berakhir, penulis sertakan sedikit perihal Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU). Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) merupakan satu badan kerajaan yang bertanggungjawab untuk melahirkan usahawan yang berpengetahuan dan berdaya saing khususnya di Terengganu. Mula beroperasi secara rasmi pada 1 Julai 1994, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) terus komited dalam memastikan pembangunan keusahawan serta perusahaan kecil sederhana dengan menganjurkan pelbagai program pembangunan yang boleh disertai oleh mana-mana usahawan di Terengganu.
Penubuhan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) merupakan jasa mantan Menteri Besar Terengganu yang ke-10 iaitu Dato’ Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Wan Ahmad. Beliau menyedari kepentingan sektor perusahaan kecil dan sederhana untuk pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu dan tidak hanya bergantung kepada sumber petroleum sahaja. Kini, setelah 27 tahun beroperasi, YPU telah banyak menganjurkan program dan aktiviti yang berteraskan Program 5P (Pembiayaan, Peningkatan Kemahiran, Pembangunan Perniagaan dan Promosi Pasaran) untuk memastikan fokus utama YPU iaitu menjadi penggerak dalam perkembangan sektor keusahawanan negeri Terengganu direalisasikan.
Terdapat lima objektif utama YPU yang menjadi pemacu untuk badan kerajaan ini terus berusaha untuk membangun dan memajukan usahawan-usahawan di Terengganu:
Untuk memastikan kelima-lima objektif utama ini dicapai, YPU menyediakan empat perkhidmatan utama iaitu Pembangunan Usahawan, Pembangunan Perniagaan, Pembiayaan Perniagaan dan Premis Perniagaan yang boleh dipohon oleh usahawan mengikut kesesuaian perniagaan masing-masing.
Setakat ini sahaja perkongsian terperinci tentang bantuan perniagaan yang disediakan di Kuala Terengganu. Untuk maklumat yang lebih terperinci, usahawan boleh mengunjungi pejabat YPU yang beralamat Pusat Dagangan Terengganu Padang Hiliran 21100 Kuala Terengganu Terengganu. Usahawan yang berminat juga boleh menghubungi YPU di talian 09-6242424. Semoga dengan perkongsian artikel ini dapat membantu para usahawan memajukan lagi perniagaan mereka seterusnya menambah baik ekonomi masyarakat.