BANTUAN PERNIAGAAN DI KUALA TERENGGANU: SKIM PEMBIAYAAN EKONOMI DESA DARIPADA SME BANK
24/05/2021HOTDESK : Kelebihan Dan Kemudahan Virtual Office/ Workspace di TD1303 Kuala Terengganu
03/06/2021Artikel ini akan menerangkan tentang Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp).
Terdapat banyak badan kerajaan atau swasta yang menggalakkan kemajuan belia untuk memulakan perniagaan mereka sendiri khususnya belia yang ingin menceburi dalam industri kecil dan sederhana. Badan-badan kerajaan antaranya aktif dalam menawarkan program yang dapat memupuk minat belia untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Salah satu badan kerajaan yang bertanggungjawab untuk menggalakkan belia dalam bidang keusahawanan di Terengganu adalah Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia atau lebih dikenali sebagai SME Corp.
Antara program yang disediakan untuk para belia yang berminat untuk menceburkan diri untuk menjadi seorang usahawan di Kuala Terengganu ialah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE). Artikel ini akan menerangkan tentang lebih lanjut tentang program keusahawanan yang ditawarkan oleh Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp).
Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu
- Apa itu Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)?
Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) adalah inisiatif kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan. Penubuhan Program TUBE ini ditubuhkan sewaktu Kongres Usahawan Muda Bumiputera pada 27 – 29 Mac 2014. Semasa Majlis Penutup Kongres itu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan untuk memberikan peruntukan kepada SME Corp. Malaysia untuk melaksanakan Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) ini. Program ini secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan.
Objektif utama Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera ini dilaksanakan adalah untuk memupuk dan menanam semangat keusahawanan di kalangan belia. Selain itu, ianya juga sebagai anjakan paradigma belia daripada seorang pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan dan juga dapat membentuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia dalam mengendalikan dan menghadapi cabaran yang mungkin dihadapi sewaktu menguruskan perniagaan sendiri
Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu
2. Fasa Pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) ini direka khas bagi mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan agar mempunyai daya tahan daripada segi mental dan fizikal, selain didedahkan dengan lanskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar. Program ini dilaksanakan menerusi tiga fasa pelaksanaan iaitu Fasa Pertama, Fasa Kedua dan Fasa Ketiga.
Fasa Pertama ialah peserta yang layak mengikuti program ini akan mengikuti latihan fizikal asas ala ketenteraan berkonsepkan bootcamp untuk menguji kecekalan minda, mempelajari cara membuat keputusan strategik, keberanian, penonjolan ciri kepimpinan serta semangat kerja berpasukan. Latihan fizikal asas ala ketenteraan ini sebagai persediaan para belia untuk menghadapi pelbagai cabaran yang bakal dihadapi sebelum bergelar seorang usahawan dan semasa menjalankan perniagaan.
Fasa Kedua pula ialah peserta akan didedahkan dengan lanskap perniagaan terkini iaitu maklumat mengenai jenis bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi untuk memulakan perniagaan. Peserta juga akan mempelajari pelbagai ilmu mengenai bidang perniagaan termasuk asas perakaunan, pemasaran produk dan perkhidmatan, serta pembentangan idea dan Rancangan Perniagaan (RP) atau lebih dikenali sebagai business plan.
Fasa Ketiga pula ialah fasa dimana para peserta yang melepasi Fasa 1 dan Fasa 2 akan menjalankan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa di Fasa 2. Perkembangan perniagaan peserta di fasa ini akan dibimbing dan dipantau menerusi Sistem Buddy oleh Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia. Tempoh bimbingan dan pemantauan ini yang mengambil masa selama 12 bulan bertujuan untuk memastikan TUBErs (gelaran untuk usahawan belia yang menyertai program ini) mendapat khidmat nasihat yang bersesuaian dan mencukupi, supaya perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dan mampan.
Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu
3. Syarat-syarat kelayakan memohon Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Syarat -syarat yang dinyatakan di sini mestilah dipenuhi dan dipatuhi oleh para belia yang berminat untuk memohon menjalani Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE). Pemohon mestilah warganegara Malaysia yang berumur antara 18 tahun sehingga 30 tahun. Pemohon juga mestilah berstatus Bumiputera dan hanya golongan belia sahaja yang layak memohon untuk menyertai program ini. Program ini ditawarkan kepada golongan belia yang mempunyai minat yang mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, khususnya belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan.
Bantuan Perniagaan di Kuala Terengganu
4. Cara memohon Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Para belia yang berminat untuk memohon menjalani program ini perlu membaca serta memahami konsep pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera sebelum mengemukakan permohonan. Selepas itu, mereka perlulah mengisi borang permohonan secara atas talian terlebih dahulu di laman web rasmi SME Corp. Borang permohonan mestilah diisi dengan lengkap dan tepat butirannya di setiap seksyen yang diberikan.
Selepas borang permohonan diterima, pihak SME Corp akan mengadakan sesi temuduga kepada para pemohon untuk menentukan bahawa mereka layak atau tidak untuk menjalani program ini. Setelah lulus, mereka akan menjalani latihan dalam talian sepanjang program ini berlangsung. Walau bagaimanapun, permohonan ini hanya boleh dimohon sekali sahaja. Keputusan penilaian permohonan adalah muktamad jika permohonan tidak lulus atau tidak melepasi temuduga dan sebarang surat-menyurat atau rayuan tidak akan dipertimbangkan.
Setakat ini sahaja perkongsian terperinci tentang program keusahawanan yang disediakan untuk para belia di Kuala Terengganu. Untuk maklumat yang lebih terperinci, para belia boleh mengunjungi laman web rasmi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp). Semoga dengan perkongsian artikel ini dapat membantu menggalakkan belia untuk menceburi bidang perniagaan dan memajukan lagi industri kecil dan sederhana di Malaysia.