Digital Content Creators Challenge (DC3+) (11 and 12 November 2020)
20/12/2020Peluang Pekerjaan Di Kuala Terengganu Sebagai Home Tutor: Perkongsian Tenant TD1303
11/03/2021Peluang pekerjaan di Kuala Terengganu dalam bidang graphic designer atau rekaan grafik : Perkongsian Tenant TD1303
Amir Mayang adalah pemilik Mayang Studio dan merupakan seorang graphic designer yang bekerja secara freelance atau bebas. Studio beliau bertempat di hab digital di Kuala Terengganu, TD1303.
Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman beliau sepanjang lima tahun terlibat secara langsung dalam bidang graphic design atau rekaan grafik.
- Perkongsian Pertama: Cara hendak memulakan kerjaya dalam bidang graphic design atau rekaan grafik di Kuala Terengganu.
Menurut Amir, apapun pekerjaan atau tugasan yang ingin dibuat, perlulah di mulakan dengan ilmu di dada. Beliau memberi pepatah Melayu “malu bertanya sesat jalan” untuk menerangkan konsep ilmu yang beliau nyatakan. Pada hemat beliau, seorang individu memerlukan seorang guru atau mentor yang boleh di jadikan rujukan dan tempat untuk menadah ilmu.
Tambah beliau lagi, ilmu yang dicari hendaklah berkaitan dengan apa yang di niatkan atau yang diusahakan. Sebagai contoh, jika ingin menjadi seorang pereka grafik atau graphic designer, ilmu yang dituntut mestilah berkenaan dengan bidang graphic design itu sendiri. Ilmu itu amat penting untuk memahami kehendak klien dan mengikut konsep serta tema yang diminta oleh klien.
Amir turut menerangkan ilmu itu juga akan digunakan untuk mengumpul maklumat dan informasi atau input daripada pelanggan dan menterjemahkannya ke dalam bentuk rekaan yang diinginkan atau output. Apabila memahami kehendak klien, seorang graphic designer atau pereka grafik dan kliennya akan mempunyai perspektif yang sama sekaligus memudahkan kerja-kerja rekaan grafik.
Amir menekankan kepentingan pendidikan secara rasmi atau kata lainnya mendapatkan sijil dan pengiktirafan seperti ijazah sarjana muda ataupun diploma. Dengan mengikuti kursus secara rasmi, asas rekaan grafik sudah cukup kukuh untuk digunakan dalam karier supaya dapat memberikan yang terbaik kepada klien.
2. Perkongsian Kedua: Cara menjadikan bidang graphic design atau rekaan grafik sebagai sumber pendapatan di Kuala Terengganu.
Dengan pengalaman selama 6 tahun dalam rekaan grafik, Amir menerangkan yang pekerjaan dalam bidang ini tidak memerlukan pejabat yang tetap atau rasmi. Tambahnya lagi, seorang pereka grafik boleh bekerja di mana sahaja lokasi yang mereka inginkan atau berada. Syaratnya mestilah dilengkapi dengan peralatan yang memang dan wajib digunakan sebagai pereka grafik seperti komputer, komputer riba ataupun telefon pintar.
Namun, sebaiknya peranti yang digunakan mestilah boleh mengakses perisian yang digunakan dalam kerja-kerja rekaan grafik atau graphic design. Apabila sudah lengakap peralatan dan perisian yang diperlukan, misi memburu projek daripada mana-mana syarikat atau klien boleh diteruskan. Tukarkan kepakaran dan idea yang ada dalam bentuk pekerjaan yang boleh menjadi sumber pendapatan
Amir turut menambah kemahiran dalam rekaan grafik sahaja tidak mencukupi untuk memastikan seorang pereka grafik atau graphic designer terus mendapat projek. Kemahiran untuk memasarkan dan mempromosikan diri serta hasil kerja yang pernah disiapkan juga perlulah dikuasai agar pekerjaan sebagai pereka grafik akan dapat memberikan sumber pendapatan yang stabil.
3. Perkongsian Ketiga : Cabaran yang biasa dihadapi apabila menceburi bidang rekaan grafik atau graphic design di Kuala Terengganu.
Apabila diminta untuk berkongsi tentang cabaran yang biasa dihadapi beliau sebagai seorang pereka grafik, Amir menyatakan cabaran yang telah lama berlaku iaitu berkaitan harga pasaran. Tambah beliau lagi ianya terjadi kerana jurang pendidikan antara pereka grafik atau graphic designer. Untuk pereka yang mendapatkan pendidikan secara formal dalam bidang ini mereka lebih menyedari nilai rekaan yang dihasilkan.
Beliau memberikan contoh tentang rekaan logo sesebuah syarikat terdapat pereka yang meletakkan harga yang berpatutan kerana mereka sedia maklum tentang harga pasaran. Situasi ini berbeza dengan pereka grafik yang tidak mendapat pendidikan formal yang mana mereka meletakkan harga secara rambang dan rendah berbanding harga pasaran. Bagi golongan ini, menjadi pereka grafik adalah mudah.
Impak daripada perbuatan tidak bertanggungjawab ini, masyarakat tidak menghargai bakat dan kemahiran yang ada pada seorang pereka grafik. Seluruh harga pasaran hasil rekaan grafik akan turut terjejas disebabkan pandangan remeh masyarakat terhadap pereka grafik. Beliau turut menekankan tentang pasaran harga di Pantai Timur yang sememangnya kucar-kacir terutamanya untuk pekerjaan dalam bidang rekaan grafik atau graphic designer ini.
4. Perkongsian Keempat : Kesilapan yang perlu dielakkan apabila menceburi bidang rekaan grafik atau graphic designer.
Pemilik Mayang Studio ini sempat memberi peringatan kepada pereka grafik atau graphic designer supaya tidak meletakkan harga secara rambang. Amir menyarankan mereka agar mengkaji dahulu harga pasaran sebelum menetapkan harga untuk servis dan hasil kerja mereka. Beliau turut mengatakan tentang kepentingan untuk tidak membandingkan harga hasil kerja dengan pereka grafik yang lain.
Tambah Amir lagi, beliau pernah membuat kesilapan ini sewaktu mula-mula menceburi bidang graphic design. Menurut beliau, harga yang rendah adalah tidak berbaloi dengan usaha dan penat lelah yang telah dicurahkan untuk sesebuah rekaan grafik. Penat yang dirasakan tidak berbaloi lebih-lebih lagi apabila hasil kerja ditolak mentah-mentah oleh klien. Jadi, tetapkan harga hasil rekaan grafik mengikut harga pasaran yang sememangnya setimpal dengan usaha yang diberikan.
5. Perkongsian Kelima : Tips yang boleh dikongsikan untuk menjadi pereka grafik atau graphic designer yang berjaya di Kuala Terengganu.
Amir berkongsi beberapa tips yang boleh dilakukan untuk menjadi pereka grafik yang berjaya iaitu pengurusan masa yang teratur. Setiap projek yang dibuat oleh pereka grafik sepatutnya mempunyai garis masa yang perlu dipatuhi agar ianya dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.
Salah satu cara yang dipraktikkan oleh Amir adalah dengan membuat kerja secara berperingkat. Namun, pastikan kerja itu sentiasa berjalan walaupun hanya sedikit penambahan dan perubahan yang dilakukan. Beliau turut berkongsi satu lagi cara iaitu dengan membahagikan tugas itu dengan pereka grafik atau graphic designer yang lain. Janji yang dibuat kepada klien haruslah ditepati walau apa cara sekalipun.
Beliau turut menasihati pereka grafik agar menjaga kesihatan tubuh badan terutamanya anggota yang memberikan kebolehan melihat iaitu mata. Ini kerana, menghadap skrin komputer atau komputer riba adalah salah satu kemestian sewaktu bekerja dalam bidang ini. Tidurlah secukupnya dan berehat seketika untuk melegakan tekanan pada mata.
6. Perkongsian Keenam: Pengalaman paling manis dan pahit yang boleh dikongsikan sebagai seorang pereka grafik atau graphic designer di Kuala Terengganu.
Amir begitu teruja apabila diminta berkongsi pengalaman manis beliau sepanjang bergelar seorang pereka grafik. Pengalaman manis beliau adalah apabila hasil rekaanya di gunakan untuk bahan yang diedarkan seperti buku, kain rentang, papan iklan dan sebagainya.
Manakala pengalaman pahit beliau adalah ketika hasil rekaannya tidak mendapat kelulusan daripada kliennya. Ataupun apabila setelah menyiapkan rekaan grafik, klien yang mengupahnya telah menarik di saat akhir. Beliau turut berkongsi kewajiban yang perlu ada sewaktu menerima tempahan iaitu dokumen perjanjian dan wang pendahuluan agar hasil kerja tidak dipersiakan apabila di khianati oleh klien.
7. Perkongsian Ketujuh : Nasihat yang boleh diberikan kepada mereka yang berminat untuk menceburi dalam bidang rekaan grafik atau graphic design di Kuala Terengganu.
Amir sebagai individu yang berurusan secara terus dalam bidang graphic design menasihati mereka yang mahu terjun ke bidang ini agar mulakan dengan ilmu. Menurut beliau, ilmu adalah sesuatu yang amat penting dan perlu dititikberatkan agar apa yang dibuat dan diberikan adalah hasil yang paling baik.
Nasihat beliau yang kedua adalah dengan mencari seorang pembimbing atau mentor yang boleh diikuti langkahnya. Pembimbing tidak semestinya orang yang boleh berjumpa setiap hari, boleh juga sekadar pembimbing di alam maya seperti di sosial media. Amir turut menambah supaya mengkaji rekaan grafik yang dihasilkan orang lain dan olah semula mengikut gaya masing-masing. Lama-kelamaan ia akan membantu dalam membina identiti sendiri seorang pereka grafik.
Beliau turut berpendapat bahawa, tidak menjadi masalah bagi seorang pereka grafik untuk mengambil inspirasi daripada hasil kerja sedia ada serta membuat penambahbaikan. Setiap pereka grafik pastinya mempunyai sentuhan yang tersendiri dalam setiap hasil kerja mereka. Ia menjadi satu identiti atau lambang unik khas untuk pereka grafik itu sendiri.
Setakat ini sahaja perkongsian daripada Amir Mayang, usahawan muda yang memiliki perusahaan dalam bidang graphic design atau rekaan grafik, Mayang Studio. Diharap dengan perkongsian ini dapat memberi informasi yang berguna kepada pembaca. Baca juga artikel-artikel kami yang lain berkenaan bidang-bidang lain yang dikongsikan oleh Tenant TD1303.