Peluang Pekerjaan Di Kuala Terengganu Sebagai Photographer atau Jurugambar: Perkongsian Tenant TD1303
25/03/2021Peluang Pekerjaan Di Kuala Terengganu Sebagai Agen Insurans dan Takaful: Perkongsian Tenant TD1303
01/04/2021Peluang pekerjaan di Kuala Terengganu dalam bidang digital marketing : Perkongsian Tenant TD1303
Amirul Aziz adalah pemilik syarikat Impak Digital yang berpangkalan di Kuala Terengganu. Syarikat milik beliau menawarkan servis untuk membuat pemasaran secara digital kepada usahawan-usahawan yang berminat untuk memasarkan perniagaan mereka di atas talian.
Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman Amirul Aziz sepanjang penglibatan secara langsung beliau dalam bidang digital marketing atau pemasaran digital
- Perkongsian Pertama: Cara hendak memulakan kerjaya dalam bidang digital marketing di Kuala Terengganu.
Menurut Amirul, sebelum beliau memulakan perniagaan sebagai seorang digital marketer, beliau kembali kepada asas pemasaran itu sendiri. Beliau belajar cara untuk mempromosikan perniagaan atau produk mengikut platform yang diingini. Sebagai contoh, beliau belajar membuat promosi di Facebook dan belajar cara yang betul untuk membuat copywriting yang menarik minat sesiapa sahaja untuk membacanya. Untuk rekod, copywriting adalah seni penulisan yang menggunakan ayat persuasif atau pujukan sebagai gaya bahasanya.
Amirul turut belajar cara untuk membuat iklan dalam bentuk gambar bergantung kepada permintaan kliennya. Beliau juga berkongsi pengalamanyya menceburi bidang perniagaan sewaktu masih belajar. Daripada itu, beliau banyak belajar tentang cara atau platform yang berkesan untuk memasarkan produk beliau secara atas talian. Menurut beliau, setiap platform atas talian mempunya cara-caranya sendiri yang perlu diikuti untuk memastikan keberkesanan iklan itu.
2.Perkongsian Kedua: Peluang untuk menjadikan bidang digital marketing sebagai sumber pendapatan di Kuala Terengganu.
Sewaktu ditanyakan tentang peluang dalam bidang digital marketing untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan, Amirul secara berseloroh mengatakan bahawa ianya adalah satu soalan yang agak sensitif. Pada pendapat beliau, sekiranya pekerjaan itu disertai dengan usaha, peluang untuk menjadikannya sebagai satu peluang pendapatan memang sentiasa terbuka.
Kongsi beliau lagi, matlamat beliau menubuhkan Impak Digital adalah untuk membantu usahawan kecil dan sederhana di Kuala Terengganu. Fokus beliau adalah untuk memasarkan perniaagaan melalui atas talian. Namun, pasaran di Kuala Terengganu tidaklah terlalu besar seperti pasaran luar seterusnya menjadikan permintaan untuk khidmat digital marketing agak rendah.
Pasaran yang sederhana menjadikan bidang digital marketing tidak mendapat pendapatan yang lumayan. Tetapi, ia masih boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan yang stabil. Tambahnya lagi, bayaran untuk khidmat digital marketing atau pemasaran digital di Kuala Terengganu adalah rendah berbanding bayaran di luar negeri. Menurut pemerhatian beliau, bayaran yang diterima untuk khidmat digital merketer kebiasaanya berjumlah RM2000.
Namun, beliau turut menambah bahawa ada segelintir klien beliau atau usahawan yang tidak kisah untuk membayar khidmat digital marketer dengan harga yang agak mahal. Syaratnya, khidmat yang diberikan mestilah setimpal dengan harga yang dibayar dan mampu memberikan kepuasan untuk pelanggan.
3. Perkongsian Ketiga: Cabaran yang biasa dihadapi apabila menceburi bidang digital marketing di Kuala Terengganu.
Cabaran menyediakan khidmat digital marketing menurut Amirul adalah saiz pasaran khususnya di Kuala Terengganu. Beliau menerangkan tentang permintaan untuk khidmat digital marketing adalah tidak terlalu memberangsangkan. Namun, kelebihan menyediakan khidmat secara atas talian menjadikan sasaran untuk pasaran menjadi sedikit luas.
Tambah beliau lagi, cabaran yang dihadapi semenjak dilanda pandemic Covid-19, sudah semakin ramai yang membangunkan perniagaan yang menawarkan khidmat digital marketing. Persaingan juga menjadi semakin sengit. Namun, mujurlah permintaan juga turut bertambah seiring dengan penambahan jumlah digital marketer.
4. Perkongsian Keempat: Kesilapan yang perlu dielakkan apabila menceburi bidang digital marketing.
Antara kesilapan yang perlu dielakkan menurut Amirul ialah tidak mencari ilmu yang mencukupi sebelum menceburi bidang ini. Untuk menerima sesuatu projek daripada klien, seorang digital marketer perlu belajar cara untuk meyakinkan pelanggan, membuat copywriting, dan sebagainya. Cari dahulu ilmu yang mencukupi sebelum menerima projek agar semua yang dibuat adalah mengikut saluran yang betul dan tepat.
Ini kerana, ia melibatkan nama baik sesebuah syarikat digital marketing itu sendiri dan bayaran yang dilaburkan oleh klien. Sekiranya ilmu tidak mencukupi, ada kemungkinan apa yang dibuat itu tidak menjadi seterusnya mengaibkan nama perniagaan yang ditawarkan. Seorang digital marketer juga boleh dipersalahkan atas apa yang berlaku dek kerana kepincangan dalam ilmu yang diperlukan dalam pemasaran digital.
Kesilapan lain yang biasa berlaku adalah satu rekaan yang melebih-lebih atau overclaim tentang manfaat produk atau kelebihan sesebuah syarikat daripada pihak digital marketer dalam menyediakan copywriting. Bagi Amirul, overclaim boleh dianggap sebagai menipu pelanggan yang tertarik dengan copywriting yang ditulis oleh digital marketer.
Kesilapan seterusnya yang dikongsi oleh pemilik Impak Digital ini adalah seseorang digital marketer mungkin kurang teliti terhadap apa yang ingin dipromosikan. Tambah beliau lagi, menjadi seorang digital marketer menuntut penelitian yang tinggi untuk memastikan kesemua aspek dalam promosi seperti data, gambar dan copywriting. Kumpulan beliau secara khususnya akan mempunyai rangka kerja mereka yang tersendiri sebelum memulakan sesuatu projek.
Yang terakhir, Amirul berkongsi tentang kesilapan yang biasa dilakukan iaitu kurang kajian terhadap sesuatu produk. Ini menyebabkan seorang digital marketer itu kekurangan informasi. Ini sekaligus membuatkan idea yang diperlukan kurang bernas daripada segi rekaan, copywriting, cara untuk mempersembahkan iklan itu sendiri dan cara untuk menarik perhatian pembaca atau pelanggan. Jadi, ini menunjukkan kepentingan kajian yang teliti sebelum memulakan projek.
5. Perkongsian Kelima : Tips yang boleh dikongsikan untuk menjadi digital marketer yang berjaya di Kuala Terengganu.
Bagi yang baru mahu bermula dalam bidang ini, Amirul menasihati mereka supaya mencuba satu platform yang sesuai. Menurut beliau, skop kerja dalam bidang digital marketing amat luas. Ada SEO, IG Ads, FB Ads dan sebagainya. Tambah beliau lagi, IG Ads adalah salah satu platform untuk mempromosikan produk yang agak senang di buat. Jadi, mungkin boleh mula belajar sebagai seorang digital marketer menggunakan platform itu dahulu.
Seterusnya, seperti yang telah diterangkan, kajian yang mendalam dan teliti amat diperlukan dalam bidang ini. Amirul menerangkan amat penting untuk menggunakan keputusan yang didapati daripada kajian itu. Jika kajian yang dibuat itu betul dan mencukupi, hasil promosi yang terhasil akan menunjukkan manfaat daripada kajian yang mendalam itu.
6. Perkongsian Keenam: Pengalaman paling manis dan pahit yang boleh dikongsikan sebagai seorang digital marketer di Kuala Terengganu.
Amirul berkongsi tentang pengalaman yang paling pahit iaitu dimaraho oleh klien beliau sendiri. Ia disebabkan oleh copywriting yang ditulis beliau dianggap sebagai kebudak-budakan oleh kliennya. Namun, hal ini sebenarnya menaikkan motivasi Amirul untuk terus belajar tentang seni tulisan seterusnya memperbaiki kemhirannya sebagai seorang digital marketer.
Pengalaman manis beliau pula ialah sewaktu kumpulan beliau berjaya mencapai petunjuk-petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh klien. Tambah beliau lagi, apabila klien berpuas hati, itu sudah menjadi kenangan manis dalam karier beliau. Beliau menegaskan tentang betapa susahnya untuk menghasilkan sesuatu yang membuatkan klien berpuas hati.
7. Perkongsian Ketujuh : Nasihat yang boleh diberikan kepada mereka yang berminat untuk menceburi dalam bidang digital marketing di Kuala Terengganu.
Amirul sebagai individu yang berurusan secara terus dalam bidang digital marketing menasihatkan mereka yang berminat untuk belajar dahulu di mana-mana kelas yang berkaitan dalam bidang ini. Kongsi beliau lagi, beliau mengambil masa selama tiga tahun untuk memahirkan diri tentang selok-belok menjadi seorang digital marketer dan barulah beliau berani untuk mengambil mana-mana projek yang ditawarkan oleh klien.
Setakat ini sahaja perkongsian daripada Amirul Aziz, usahawan tempatan yang memiliki perusahaan dalam bidang digital marketing atau pemasaran digital, Impak Digital. Diharap dengan perkongsian ini dapat memberi informasi yang berguna kepada pembaca. Baca juga artikel-artikel kami yang lain berkenaan bidang-bidang lain yang dikongsikan oleh Tenant TD1303.