Peluang Pekerjaan Di Kuala Terengganu Sebagai Video Editor: Perkongsian Tenant TD1303
15/03/2021Peluang Pekerjaan Di Kuala Terengganu Sebagai Akauntan: Perkongsian Tenant TD1303
22/03/2021Peluang pekerjaan di Kuala Terengganu dalam bidang printing : Perkongsian Tenant TD1303
Naim Thani adalah pemilik syarikat Menteri Printing yang berpangkalan di Kuala Terengganu. Syarikat milik beliau menawarkan servis printing atau percetakan secara atas talian. Fokus utama syarikat ini adalah untuk membekalkan bahan-bahan pemasaran untuk usahawan dan mencetak baju T dengan harga yang berpatutan.
Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman Naim Thani sepanjang enam tahun terlibat secara langsung dalam bidang printing atau percetakan.
- Peluang pekerjaan di Kuala Terengganu dalam bidang printing,
Perkongsian pertama. Cara hendak memulakan kerjaya dalam bidang printing di Kuala Terengganu.
Menurut Naim, permulaan beliau dalam bidang printing hanyalah sebagai seorang ejen di sebuah syarikat printing dan mempromosikannya di Instagram sahaja. Pada hemat beliau, untuk memulakan kerjaya dalam bidang printing, sebolehnya carilah peluang yang tidak memerlukan modal.
Banyak syarikat printing yang membuka peluang untuk sesiapa sahaja menjadi ejen syarikat mereka. Menjadi seorang ejen tidak memerlukan sebarang modal dan ianya merupakan peluang keemasan untuk individu yang berminat tetapi kekurangan bajet.
Naim turut berkongsi cerita yang beliau banyak mengumpul ilmu dan pengalaman sepanjang mempromosikan servis printing syarikat milik orang lain sebelum berjaya membuka syarikat printing milik beliau sendiri.
2. Perkongsian Kedua: Cara menjadikan bidang printing sebagai sumber pendapatan di Kuala Terengganu.
Bidang printing atau percetakan merupakan satu bidang yang amat luas. Menurut Naim, ia tidak hanya terhad kepada cetakan di atas kertas sahaja. Oleh sebab itu, individu yang berminat untuk menceburi bidang printing dengan niat untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan perlu memilih satu jenis printing atau percetakan sahaja.
Sebagai contoh, syarikat printing milik Naim fokus utamanya adalah untuk mencetak bahan pemasaran dan baju T. Melalui fokus dan pengkhususan ini, usahawan printing dapat mencari pelanggan sasaran atau target customer mereka sendiri seterusnya memilih metode untuk mempromosi khidmat mereka samada melalui atas talian atau mempromosikannya secara terus atau dalam bentuk tender ke syarikat-syarikat.
Menurut pemilik Menteri Printing ini lagi, dulu hanya satu kaum yang menguasai bidang printing ini. Tapi sekarang, dengan perkembangan teknologi dan internet, sudah ramai usahawan printing yang berbilang kaum. Pada pendapat penulis, ini adalah satu perkara yang baik kerana ia dapat mewujudkan satu persaingan sihat yang bakal memajukan lagi bidang printing atau percetakan ini.
Berdasarkan pemerhatian Naim juga, perniagaan dalam bidang printing atau percetakan ini sudah wujud sejak sekian lama. Demand atau permintaan terhadap khidmat percetakan tidak pernah putus dan mewujudkan satu rantaian demand and supply yang agak rancak.
Konklusinya, bidang printing atau percetakan ini sudah lama bertahan dan masih lagi relevan menunjukkan potensinya sebagai satu bidang yang dapat dijadikan sebagai pekerjaan untuk meraih pendapatan.
3. Perkongsian Ketiga : Cabaran yang biasa dihadapi apabila menceburi bidang printing di Kuala Terengganu.
Cabaran pertama berdasarkan pengalaman Naim adalah satu kepincangan daripada pihak yang menawarkan servis printing kerana mereka selalunya gagal mengenal pasti pasaran sasaran atau target market mereka. Seperti yang telah ditulis sebelum ini, bidang printing merupakan bidang yang amat luas.
Jadi seeloknya, penyedia servis perlu kenal pasti target market mereka sekaligus mengenali akan pelanggan sasaran atau target customer. Salah satu kepentingannya adalah apabila mengenali pelanggan, usahawan printing dapat mencari cara berbincang yang efektif dengan pelanggan serta menawarkan harga yang bersesuaian dengan servis printing yang ditawarkan.
Setiap perniagaan mestilah mempunyai persaingan yang akan menjadi satu motivasi untuk para usahawan bidang printing menjadi lebih kreatif untuk memajukan perniagaan masing-masing.
Tambah Naim lagi, persaingan yang sihat amat penting untuk memastikan semua usahawan khususnya dalam bidang printing akan terus berusaha memastikan servis yang mereka tawarkan dapat membuat pelanggan terus setia dan berpuas hati dengan hasilnya dan terus setia menuntut khidmat daripada syarikat printing yang sama.
4. Perkongsian Keempat : Kesilapan yang perlu dielakkan apabila menceburi bidang printing.
Terdapat beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh mereka yang baru menceburi bidang printing. Seperti yang telah dikongsi oleh Naim, kebanyakan usahawan baru tidak mengenali pelanggan mereka. Seperti yang dinyatakan di atas, mengenal pasti target customer amat penting untuk memastikan ianya sesuai dengan perkhidmatan printing yang ditawarkan.
Para usahawan printing baru melaburkan modal yang sangat besar untuk membeli pelbagai jenis mesin cetak namun gagal meyakinkan pelanggan untuk menggunakan khidmat mereka. Berdasarkan pengalaman penulis sewaktu mahu menempah baju T untuk kelab yang disertai, penulis mencari kedai printing atau percetakan yang kepakarannya adalah dalam bidang printing baju T.
Ini menunjukkan kepentingan memasarkan kepakaran serta keistimewaan syarikat printing melalui jenis printing yang menjadi fokus utama syarikat printing tersebut.
Kesilapan yang kedua adalah mengambil risiko yang besar dengan melabur modal yang banyak. Naim menasihatkan mereka yang berminat menceburi bidang printing atau percetakan untuk bermula daripada bawah dan mencari peluang yang tidak memerlukan modal atau perbelanjaan yang besar. Ini termasuklah mendaftar menjadi ejen atau dropship syarikat printing milik orang lain.
Sepanjang bekerja dengan syarikat printing yang lain, kumpul sebanyak mana pengalaman dan ilmu melalui pemerhatian dan apa yang berlaku sepanjang menjadi ejen. Naim turut menambah tips untuk berjaya iaitu dengan mencari seorang figura yang boleh menjadi pembimbing dan contoh agar usahawan baru dapat belajar daripada kegagalan dan kejayaan yang telah dikecapi oleh figura tersebut.
Pembimbing tidak semestinya individu yang terlibat dalam bidang printing, cukuplah dengan memilih individu yang telah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan. Anggaplah masa yang terluang untuk menuntut ilmu dengan pembimbing sebagai salah satu pelaburan yang paling berharga demi sebuah kejayaan dalam perniagaan.
5. Perkongsian Kelima : Tips yang boleh dikongsikan untuk menjadi penyedia perkhidmatan printing yang berjaya di Kuala Terengganu.
Sebagai penyedia perkhidmatan printing, Naim dapat berkongsi beberapa tips yang beliau rasa penting untuk berjaya dalam bidang printing. Yang pertama, usahawan perlu ada fokus supaya ianya dapat dibuat dengan serius dan sepenuh hati. Sebagai contoh, Menteri Printing yang dimiliki Naim fokus perniagaannya adalalah untuk pasaran atas talian.
Naim juga turut menzahirkan kepentingan perniagaan atas talian untuk perniagaan dalam bidang printing. Beliau mempraktikkan sepenuhnya perkembangan teknologi dan internet yang membuatkan dunia tanpa sempadan menjadi kenyataan. Seperti yang diketahui, Menteri Printing berpangkalan di Kuala Terengganu.
Tetapi, pasarannya meluas ke seluruh Malaysia. Naim turut menambah yang bidang printing tidak memerlukan lokasi kedai yang strategik lebih-lebih lagi untuk usahawan yang fokus pasarannya adalah atas talian. Namun, sekiranya usahawan ingin fokus untuk pasaran luar talian, kedudukan kedai yang strategik merupakan satu kelebihan dan bonus untuk perniagaan mereka.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan memilih model perniagaan yang bagus. Beliau turut menambah yang perkhidmatan printing merupakan satu perniagaan yang besar marginnya. Beliau berpendapat printing merupakan ibu perniagaan kerana semua perniagaan memerlukan perkhidmatan printing untuk memasarkan produk atau servis mereka.
Antara bahan pemasaran yang sering digunakan dan memerlukan khidmat printing adalah kain rentang atau banner, kad perniagaan, pelekat atau sticker, label dan macam-macam lagi. Penulis bersependapat dengan Naim kerana pernah menceburi bidang perniagaan yang sememangnya menggunakan khidmat printing untuk memasarkan perniagaan.
6. Perkongsian Keenam: Pengalaman paling manis dan pahit yang boleh dikongsikan sebagai seorang penyedia khidmat printing di Kuala Terengganu.
Sewaktu diminta untuk berkongsi pengalaman pahit dan manis, Naim bertegas yang bidang perniagaan sememangnya sukar dan untuk mempunyai pengalaman manis boleh dianggap sebagai mustahil. Apabila diminta berkongsi pengalaman pahit, beliau menolak dengan mengatakan segala yang pahit telah dibuang, pengajarannya sahaja yang diambil untuk dijadikan sebagai panduan.
7. Perkongsian Ketujuh : Nasihat yang boleh diberikan kepada mereka yang berminat untuk menceburi dalam bidang printing di Kuala Terengganu.
Naim sebagai individu yang berurusan secara terus dalam bidang printing memegang konsep rezeki berada di mana-mana. Nasihat beliau untuk yang baru berjinak dalam bidang printing adalah dengan mencari seorang guru sebagai pembimbing.
Beliau turut menasihati untuk memulakan perniagaan dengan sekecil-kecil modal yang boleh seperti mendaftar menjadi seorang ejen atau dropship. Ianya merupakan satu permulaan yang sangat bagus.
Naim menambah tiada masa yang terlalu lambat atau terlalu cepat, jadi kepada yang berniat untuk mula berniaga, laksanakan saja niat itu bermula sekarang. Pastikan mulakan dengan langkah yang betul iaitu dengan mencari ilmu melalui seorang guru yang boleh dijadikan rujukan dan pembimbing dalam perniagaan.
Nasihat beliau yang seterusnya adalah kena sentiasa yakin dengan keputusan diri sendiri. Pedulikan orang yang tidak yakin dengan kita. Tapi, keyakinan hanya boleh didapati apabila sudah menuntut ilmu, barulah boleh melangkah dan berkembang dengan yakin.
Setakat ini sahaja perkongsian daripada Naim Thani, usahawan tempatan yang memiliki perusahaan dalam bidang printing atau percetakan, Menteri Printing. Diharap dengan perkongsian ini dapat memberi informasi yang berguna kepada pembaca. Baca juga artikel-artikel kami yang lain berkenaan bidang-bidang lain yang dikongsikan oleh Tenant TD1303.